Jumaat, 27 Disember 2013

Tips Dan Panduan Khusyuk Solat

Perkara-perkara berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap mukmin bagi mengekalkan solat yang khusyuk:

1. SEBELUM MENDIRIKAN SOLAT:

i) Menjaga makanan, minuman dan pemakaian.

Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.

Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii) Membersihkan diri dan bersugi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

iii) Wudhuk yang sempurna

Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan solat juga terletak kepada kesempurnaan wudhuk.

Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan solat Subuh bersama Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam dan Baginda membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai solat Baginda bersabda: “Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wudhuk mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wudhuknya.” (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

Di samping itu sebahagian kelebihan wudhuk itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya wudhuk yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”

iv) Memakai pakaian yang bersih dan kemas.

Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

v) Jangan solat dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan solat.

Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Jangan solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)

vi) Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.


Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “…dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)

vii) Pilih tempat solat yang menenangkan

Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit dimatikan sebelum solat.

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma: “Bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan solat pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iix) Gunakan Sejadah Tidak Mengganggu

Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran. Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah RadhiAllahu ‘anha bahawa Nabi ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah mendirikan solat di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda: “Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)

ix) Pastikan tiada gangguan
Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah RadhiAllahu ‘anhu: “Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang solat.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyuk ketika mendirikan solat.

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat solatnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.

x) Solat Di Awal Waktu

Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

Tiada ulasan: